Monday, 16 March 2015

Kemalangan Elektrik

Statistik Suruhanjaya Tenaga menunjukkan bahawa antara punca utama kemalangan elektrik berkenaan ialah pemasangan dan senggaraan pendawaian elektrik yang tidak sempurna serta prosedur kerja selamat tidak dipatuhi. Elektrik (walaupun amat berguna) ia juga boleh membunuh. Di United Kingdom, misalnya tidak kurang 1,000 kemalangan yang melibatkan elektrik dilaporkan setiap tahun. Kemalangan-kemalangan ini pada kebiasaanya melibatkan kontak langsung manusia dengan alatan elektrik yang terdedah contohnya menyentuh kabel elektrik yang terkoyak. 



Bahaya elektrik boleh dipecahkan kepada empat kategori berikut:

ELEKTROSTATIK

Keadaan ini terhasil daripada cas elektrik yang terperangkap di dalam penebat. Cas-cas ini mempunyai voltan yang tinggi tetapi arus yang rendah. Kesan elektrostatik ini akan menyebabkan kejutan. Elektrostatik bervoltan tinggi boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian malah, jika ia berlaku di persekitaran mudah terbakar, ia boleh mengakibatkan kebakaran.

KEBAKARAN

Litar pintas dan lebihan tenaga mengalir yang berlaku pada satu sistem pendawaian boleh menyebabkan tercetusnya percikan api atau penjanaan tenaga haba yang tinggi yang berpotensi dalam menyalakan api. Kemalangan ini juga boleh disebabkan oleh pelepasan cas statik.

MATA ARKA

Pengcahayaan yang melampau boleh merosakkan penglihatan manusia yang begitu sensitif dengan cahaya lampau. Keadaan ini disebabkan oleh cahaya ultraungu yang terhasil daripada arka elektrik dan silauan cahaya aktiviti kimpalan. Apabila mata melihat secara langsung punca cahaya ini, ianya akan memberi kesan yang dipanggil 'Konjuntinitis'

RENJATAN

Renjatan elektrik berlaku bila manusia bersentuhan dengan sumber arus elektrik di mana arus elektrik mengalir melalui tubuh terus ke bumi untuk dineutralkan. Keadaan ini menjejaskan fungsi anggota badan dan boleh mengakibatkan kekejangan otot, kegagalan jantung dan melumpuhkan sistem pernafasan.

Gunakan produk elektrik dengan penuh bertanggungjawab 

Kajian menunjukkan bahawa kesemua bentuk bahaya di atas dan kecederaan yang diakibatkan boleh dielakkan jika pengguna melaksanakan kewajipannya dengan menggunakan produk elektrik dengan penuh bertanggungjawab. Kerajaan, melalui Peraturan Elektrik 1994 telah menetapkan bahawa 31 jenis peralatan elektrik rumah wajib mematuhi standard Malaysia (MS) yang berkaitan. Semua peralatan elektrik rumah harus mempunyai label MS yang sesuai. Dalam hal ini, kerajaan telah meletakkan tanggungjawab ke atas Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk menguatkuasakan standard-standard ini manakala SIRIM Berhad telah ditugaskan untuk menjalankan ujian terhadap perkakas/ peralatan elektrik yang tersenarai dalam Peraturan Elektrik 1994. 

Peralatan-peralatan elektrik dan elektronik yang tidak patuhi piawaian merupakan penyumbang kepada beban sisa merbahaya disebab ia mengandungi bahan-bahan merbahaya atau toksik seperti, logam berat cadmium, merkuri, plumbum, sebatian kromium, polychlorinated biphenyl (PCB) dan polybrominated biphenyl (PBB). Sebagai pengguna, anda harus mementingkan keselamatan diri dan melaksanakan hak untuk mendapatkan produk yang selamat bagi memastikan hanya produk yang mematuhi standard keselamatan dijual di pasaran. Sebagai pengguna, anda perlu memeriksa ciri-ciri keselamatan barang elektrik dan elektronik sebelum membeli. Anda perlu membandingkan ciri pelbagai produk itu dan sebagai suatu amalan rutin dan pertimbangkan keselamatan relatif produk itu.

Baca dengan teliti label produk dan keterangan serta label amaran. Produk pengguna biasanya mempunyai maklumat berguna dan amaran mengenai produk serta patuhi maklumat mengenai penggunaan produk dengan cermat. Banyak produk hanya selamat apabila digunakan mengikut garis panduan dan keterangan yang diberi. Sesetengah barangan elektrik selamat hanya apabila digunakan dalam jangka masa tertentu. Gunakan produk seperti ditetapkan dengan cermat dan berhati-hati. Produk biasanya untuk suatu kegunaan saja. Sesetengahnya sesuai untuk beberapa kegunaan. Tiada produk yang selamat untuk semua penggunaan. 

Penting menggunakan alat yang betul untuk melakukan sesuatu kerja selain mengetahui kebolehan seseorang itu berbeza di antara satu sama lain. Maklumkan kepada mereka yang berkenaan dan boleh mengambil tindakan produk tidak beroperasi dengan selamat. Pengeluar, terutama syarikat besar menyediakan sistem untuk memantau prestasi produk mereka selepas jualan namun ia bergantung pada maklum balas pengguna. Kenal pasti kelemahan produk dan laporkan kepada pihak berkenaan kerana ia membawa banyak manfaat. Anda perlu sedar bahawa pengeluar dan kerajaan begitu responsif apabila ada permintaan daripada pengguna terhadap pembaikan undang-undang keselamatan dan penguatkuasaan.

Sumber: PERSATUAN KESELAMATAN PENGGUNA KUALA LUMPUR

Sunday, 15 March 2015

Elak sakit belakang

Senaman bantu pulihkan regangan postur badan

Pada masa ini, masalah sakit belakang berkaitan tulang belakang adalah punca utama kecederaan berkaitan pekerjaan. Sakit akibat kecederaan yang tidak tertanggung ini menyebabkan mereka yang mengalaminya menghabiskan banyak wang untuk pulih sepenuhnya. Kesakitan terutama pada bahagian pinggang biasanya terjadi kepada orang di sekitar umur 30 hingga 50 tahun. Kebanyakan daripadanya mengalami kesakitan itu ketika sedang melakukan rutin pekerjaan. Sebenarnya anda boleh mengurangkan risiko dengan sedikit bimbingan dan langkah pencegahan.

Berat badan berlebihan 

Langkah pertama dengan menilai risiko kepada anda. Orang yang paling berisiko tinggi adalah mereka yang perlu kerap membongkok, mengangkat dan berpusing. Anda juga berisiko jika mempunyai berat badan berlebihan, merokok atau tidak aktif. Pemeriksaan awal penting bagi membolehkan anda lebih berhatihati bagi mengurangkan dan mengelak terus risiko ini. Bermula dengan mencuba untuk berhenti merokok dan mengurangkan sedikit berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan. Seterusnya membuat beberapa perubahan di tempat kerja. Ramai yang mengalami masalah sakit belakang di bahagian pinggang selepas mengangkat objek berat secara tidak betul.

Duduk di meja

Duduk dalam tempoh yang panjang dan tidak bergerak boleh mengakibatkan anda mendapat sakit belakang dalam jangka masa yang panjang. Cara terbaik mengelakkannya adalah dengan berehat sebentar secara kerap dengan berdiri dan berjalan, tetapi jika anda tidak mempunyai pilihan lain, cuba ambil langkahlangkah berikut:

  • Beri sokongan kepada pinggang anda. Gunakan gulungan tuala, bantal kecil atau kerusi sokongan yang direka khas. 


  • Duduk dengan postur yang betul. Selaraskan telinga dan bahu dengan memastikan dagu selari dengan lantai. Elakkan bersandar pada bahagian tepi badan dan elakkan perabot yang terlalu empuk kerana tidak menawarkan sokongan yang mencukupi. Apabila anda tidak bersandar ke belakang pastikan anda tidak melengkungkan bahagian belakang badan anda. Pastikan belakang anda tegak dan sejajar. 
  • Beli kerusi pusing berkualiti supaya anda boleh bekerja tanpa memusingkan pinggang anda. Kedudukan komputer yang dekat dengan anda juga membantu mengurangkan anda berpusing dan berubah. Pastikan kerusi anda boleh dilaraskan, boleh bersandar dan mempunyai tempat meletakkan lengan.
Jangan lupa bersenam 

Lazimnya, menganggap rehat dengan berbaring di atas katil adalah cara untuk pulih daripada masalah sakit belakang. Hakikatnya bahawa senaman bukan sahaja membantu melegakan sakit pinggang kronik, tetapi juga membantu mencegahnya pada masa depan. 

Senaman dapat memperbaiki postur, menguatkan belakang, meningkatkan fleksibiliti dan membantu anda mengurangkan berat badan. Program senaman yang berkualiti merangkumi aktiviti aerobik (seperti berjalan, berenang dan berbasikal), latihan bebanan dan regangan (seperti yoga dan tai chi). 

Anda juga boleh melakukan aktiviti ini di tempat kerja selepas duduk agak lama, seperti berjalan kaki selama 10 minit. Lakukan juga beberapa regangan mudah ketika rehat. Jika anda perlukan lebih panduan, tunjuk ajar dan idea dapatkan panduan pakar kecergasan yang berkelayakan di tempat anda. 


Ikuti tip ini untuk mengurangkan risiko kecederaan 

  • Jika anda perlu untuk mengangkat sesuatu yang terlalu berat, dapatkan bantuan. 
  • Pastikan kaki anda dijarakkan seluas bahu supaya anda mempunyai asas sokongan yang luas. 
  • Berdiri sedekat yang mungkin dengan objek yang anda ingin angkat. 
  • Bengkokkan lutut anda, BUKAN pinggang anda. 
  • Beri sokongan kepada belakang dengan mengeraskan otot abdomen kerana anda mengangkat objek ke atas atau lebih rendah ke bawah. 
  • Angkat menggunakan otot kaki anda, TIDAK belakang anda. 
  • Pegang objek sehampir yang boleh dengan badan anda. 
  • Jangan memusingkan badan atau condong ke hadapan ketika anda mengangkat atau membawa objek. 
Sumber dari; Berita Harian, Aug 30, 2014; pg. no. 010- Byline / Author: Oleh Mohd Hoesni Rahmat


Katakan tidak pada rokok...

Tabiat merokok boleh membunuh 1 bilion orang dalam abad ini. Terdapat lebih kurang 1.15 bilion perokok di seluruh dunia. Lebih 80% daripada angka ini adalah dari negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, tembakau menjadi satu daripada penyebab paling utama terhadap kematian di seluruh dunia. Adalah dianggarkan bahawa lebih kurang 100 juta orang mati disebabkan oleh penggunaan tembakau di abad ke-20. Dalam abad ke-21, adalah diramalkan bahawa 1 bilion orang akan mati sekiranya corak merokok sekarang ini berterusan! 

Penyakit-penyakit yang berkaitan dengan tabiat merokok membunuh seorang daripada 10 orang dewasa di seluruh dunia, atau menyebabkan empat juta kematian. 

• Setiap lapan saat, seorang mati akibat penggunaan tembakau. Lebih kurang 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit. 
• Di kalangan negara-negara Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Rantau Pasifik Barat yang mana merangkumi Asia Timur dan Pasifik mempunyai kadar tabiat merokok yang tertinggi, dengan hampir dua pertiga lelaki yang merokok. 
• Di kalangan golongan remaja di seluruh dunia berumur 13 hingga 15 tahun dianggarkan seorang daripada lima orang adalah perokok. 
• 60,000 hingga 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari secara kasar, separuh daripada mereka di negaranegara Asia. 
• Separuh daripada perokok jangka masa panjang akan mati akibat penggunaan tembakau yang menyebabkan kanser paru-paru, penyakit jantung dan penyakit paru-paru yang kronik. 
• Terdapat lebih daripada 4,000 bahan kimia dalam asap tembakau, yang mana 2,000 daripadanya adalah toksik, 63 adalah karsinogenik dan selebihnya adalah bahan-bahan yang boleh menyebabkan kerengsaan. 
• Secara purata, setiap batang rokok yang dihisap akan memendekkan sekurang-kurangnya lima minit hayat seseorang.
• 30% daripada semua kematian berkaitan kanser adalah daripada tabiat merokok. 
• 90% daripada semua kematian akibat kanser paru-paru adalah disebabkan oleh tabiat merokok. 



Senario dan Tabiat merokok di Malaysia: 

Fakta sepintas lalu 

• Hampir separuh daripada lelaki Malaysia merokok. 
• Setiap hari,lebih kurang 45 hingga 50 remaja di bawah umur 18 tahun mula merokok. 
• 30% daripada remaja lelaki berumur 12 hingga 18 tahun merokok. 
• Bilangan remaja perempuan yang merokok semakin bertambah. Hasil daripada dua kajian ke atas remaja yang dijalankan dalam tahun 2000 dan 2004, bilangan remaja perempuan yang merokok telah bertambah dari 4% hingga 8%. Secara keseluruhannya, kajian dalam tahun 2004 mendapati bahawa hampir seorang daripada lima orang remaja adalah perokok. 
• Kes kanser paru-paru telah bertambah dengan kadar 17% setahun. 
• Tabiat merokok dipercayai akan menyebabkan hampir setengah juta kes penyakit koronari(jantung). • Berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan KebangsaanKe-2 yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tahun 1996, tabiat merokok menyebabkan kematian lebih kurang 10,000 orang setahun. 

Perspektif 

• Untuk mengatasi ancaman di mana semakin ramai remaja(10 tahun ke atas) dan bilangan perokok wanita yang semakin meningkat dalam kadar yang sangat membimbangkan) 
• Mempergiatkan usaha untuk membanteras dan mencegah masalah ketagihan rokok perlu dilaksanakan segera dan berterusan) 
• Bertindak secara lebih agresif bagi menangani ancaman masalah kesihatan ini secara bersungguh-sungguh memandangkan peratusan yang sangat tinggi kematian akibat penyakit yang berpunca dari ketagihan rokok) 
• Sebarang kempen yang memfokuskan kepada pencegahan dari tabiat merokok merupakan usaha dan keutamaan nasional dan menjadi teras kepada program kesihatan negara. 

Tabiat merokok adalah satu penagihan 

Tembakau mengandungi sejenis bahan penyebab ketagihan yang dipanggil nikotin. World Health-satu buletin yang ditaja oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dalam edisi bulan Julai-Ogos 1995, telah melaporkan bahawa nikotin menghasilkan tindak balas kimia dalam badan yang sama dengan yang dihasilkan oleh heroin dan kokain. Kadar berbalik dependen yang cuba untuk berhenti menggunakan nikotin, alkohol, kokain dan heroin secara kasarnya adalah sama, namun banyak yang melaporkan bahawa adalah lebih sukar untuk berhenti menggunakan tembakau, berbanding dengan pelbagai dadah haram yang lain, menurut buletin tersebut. Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Mengenai Ketagihan dan Penyalahgunaan Substandi Universiti Columbia, Amerika Syarikat, nikotin dianggap sebagai satu ambang dadah yang dikaitkan dengan penggunaan bahan haram. Menurut satu kajian, bagi orang dewasa yang mula merokok sebelum berusia 15 tahun, kemungkinan beliau menjadi seorang penagih dadah adalah tiga kali ganda. Kajian ini juga menunjukkan bahawa kanak-kanak yang merokok setiap hari, kemungkinan dia menjadi penagih dadah, adalah 13 kali ganda jika dibandingkan dengan kanak-kanak tidak kerap merokok.

Objektif. 

• Merangka kempen komunikasi secara berkesan yang menggerakkan seluruh negara ke arah bebas rokok 
• Menggesa masyarakat untuk berhenti merokok 
• Mencegah kelompok remaja dan wanita supaya tidak memulakan tabiat 

Strategi 

Menggerakkan seluruh negara untuk memerangi masalah ketagihan rokok 

• Kempen ini akan memfokus kepada menyalurkan maklumat tentang ancaman dan bahaya merokok serta kesannya kepada kesejahteraan rakyat 

Membina satu masyarakat baru yang berpengetahuan yang tidak merokok

• Langkah jangka panjang ini perlu dirangka dalam kadar yang segera. Remaja sekarang perlu dilengkapi dengan maklumat yang tepat mengenai bahaya merokok.


Rujukan: http://www.infosihat.gov.my/taknak/KempenTakNak.php 

Tuesday, 10 March 2015

Menggapai Bintang

Bergelar graduan Universiti bukanlah jalan mudah untuk mendapatkan kerja dengan cepat...tahun 2004 aku telah menamatkan pengajian dari Universiti Teknologi Mara (UITM)..dengan berbekalkan Diploma di dalam bidang Sains Komputer dan bukan satu jaminan untuk aku dapat kerja mase tu....

Mungkin aku bernasib baik pade mase tu..sebabnye aku telah menjalani latihan praktikal selama 3 bulan di Sime Darby Engineering Sdn. Bhd di Teluk Ramunia...menjadi Juruteknik Komputer telah banya memberi ilmu baru yang memang aku tak pernah belajar mase di universiti... kt sini lah baru aku tahu macam mane nak format komputer, tarik kable network..set IP address untuk komputer..and buat connection cable ke RJ-45...aku habes praktikal bulan jun 2004...dan majlis konvokesyennya pada bulan ogos..lepas tu aku tak lah terus dapat kerja...menurut supervisor mase aku praktikal tu...die tak kan amik perempuan untuk kerja bahagian ni..sebab die kesian bile tengok perempuan kena angkat PC dan tarik kabel...sempat jugak aku pergi interview untuk bekerja dalam bidang ni..jawapan yang aku terima tetap same...terase macam diskriminasi pulak untuk kaum perempuan mase ni...tapi akhirnya aku dapat jugak kerja..cume bukan bidang aku...

2005 aku mule bekerja di Sime Darby Engineering Sdn. Bhd..mase ni aku jadi Technical clerk jerr...tak fikir ape pun..yang penting ade kerja..ade gaji...hahahaha..sebab mase ni dah rase putus ase nak teruskan kerjaya dalam bidang yang aku belajar dulu...pengalaman pertama aku tengok drawing yang bertimbun kat atas meja...pening kepala...bile tengok drawing structure, piping, elektrikal, instrument...dan macam-macam lagi...belajarnye lain..kerjanya lain..confirmlah tak berape nak fahamkan...mujurlah..ramai yang sudi membantu mase tu...belajarlah cikit-cikit untuk fahamkan ape yang ade...first time dpat naik module mase ni...bergambar sakanlah..terase macam kecik jer dekat celah-celah besi ni...


2006 aku jadi penganggur sekejap bile Projek D1 yang aku terlibat ni dah siap dan belayar ke India...mase ni mulalah sebuk cari kerja semula...Disebabkan mase ni aku dah ade pengalaman cikit...jadi dapatlah aku kerja di Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn. Bhd di Pasir Gudang...mase ni tumpang duduk dengan Makcu...pegi keje naik kete kancil jer...kat Pasir Gudang ni jalannye sebuk dan yang paling menyeramkan lori besar-besar...seronoknye keje kt MMHE mase ni..sebab aku ikut client Petronas... dapatlah belajar benda yang baru lagi...tak pasal-pasal daripada Technical Clerk dah tukar jadi Admin merangkap secretary...yang bestnye...aku bebas kat dalam office.. semua benda ade kat dalam ofice jer..surau ade...makanan pun banyak...jadi jimat lah belanje...tapi rezeki tak panjang kat sini sebab ayah suruh balik semula ke Teluk Ramunia...hujung tahun tu aku balik ke Teluk Ramunia sebab ade jawatan kosong di "Department Planning" di Ramunia Fabricator Sdn. Bhd...masuk jer kerja aku rase seronok sebab di bahagian ni adelah kaitan dengan ape yang aku belajar...mulanya aku ingat kontrak aku kerja setahun...tapi..bile bace kontrak... tawaran kerja ni cuma dua bulan jer...sebab ganti orang cuti bersalin...mula rase menyesal terima tawaran tu sebab aku dah rase selesa duduk di Pasir Gudang...fikir positif jer mase tu...mungkin ade rezeki untuk aku lepas ni...dan mugkin ade hikmah yang aku tak tahu...

Masuk jer tahun 2007 aku jadi penganggur semule...pengajaran untuk aku..sebelum masuk kerja..pastikan dulu surat tawaran dah terima awal-awal baru lah boleh mula kerja...mungkin tahun ni bukan tahun yang bagus untuk aku sebab hampir tujuh bulan aku tak dapat jugak kerja...duduk rumah tak de buat ape-ape memang boring...kebetulan pulak mase ni..kawan mak offer untuk belajar jahit baju...disebabkan aku memang tak buat ape-ape... dan harge tempahan baju dah semakin mahal...jadi aku pun mulelah menjalani sesi pembelajaran...aku belajar mase bulan puase selama 3 minggu dengan misi nak jahit baju raya sendiri... Alhamdulillah....misi berjaya... aku berjaya jahit baju raye aku sendiri... disebabkan terlebih bersemangat.. aku terus beli mesin jahit baju dengan mesin jahit tepi sendiri...untuk test power aku menjahit baju...ade jugaklah aku tolong kawan mak ni siapkan tempahan baju mase ni...dapatlah duit poket untuk raye...setahun aku jahit tukang jahit yang tak berape nak professional...

Alhamdulillah tahun 2008 menjadi sinar baru untuk aku... aku dapat tawaran untuk interview jawatan Training & Information Engineer... hahaha...engineerlah sangatkan... kenangan yang paling aku tak boleh lupakan mase dalam bilik interview... aku kene maki dengan orang yang interview 1 jam setengah sebab die tak puas hati dengan kelayakkan yang aku ade dengan jawatan yang aku dapat ni...aku masih ingat lagi ayat-ayat die..."awak ni umpama dapat jongkong emas tau kalau awak dapat jawatan ni..kalau saya bukak iklan untuk jawatan ni..berlambak lagi orang yang lebih layak dari awak"...ayat die ni memang betul-betul bakar jiwa aku... terase tercabar sangat-sangat...akhirnya aku dapat jugak kerja ni...jadi bermulanya kerjaya aku di dalam bidang Health, Safety and Environment yang sememangnye aku tak tahu langsung... untuk bahagian information...aku memang tak de masalah sebab dah makanan aku.. jadi dengan bangganya aku tunjukkan skill update record pekerja untuk bahagian latihan...yang menjadi masalahnye..bile aku jugak kene buat Training...menggigil lutut bile kene cakap depan orang..pertama kali aku di interview untuk jadi HSE Trainer...memang sentiase jadi kenangan aku bile modul untuk satu hari aku habeskan dalam masa 15 minit jer mase interview tu...bile habes jer...10 orang otai-otai yang kat depan aku semuanya komen berbakul-bakul...nak buat macam manekan...dah memang tak de skill nak mengajar...dan memang bukan cite-cite aku nak jadi pengajar....sebelum aku dapat kerja ni..aku dah buat permohonan untuk sambung belajar di UTM skudai...aku sambung degree Sains Komputer jugak sebab tak tahu akan terlibat dengan bahagian HSE ni....perancangan Allah itu tepat...mungkin aku tak sedar yang aku boleh mengajar...dalam tak nak jadi pengajar...aku bertahan di Ramunia Fabricator Sdn. Bhd ni sampai tahun 2009..itu pun sebab syarikat ni berpindah ke Port Klang dan aku tak berhasrat pun untuk berhijrah daripada Teluk Ramunia..

2010 aku bekerja pulak di PFC Engineering Sdn. Bhd...mase ni aku ditawarkan untuk jadi HSE Training Coordinator sebab banyak masalah yang tak dapat diselesaikan... masuk jer kerja..dengan bangga mase tu aku dapat selesaikan masalah yang ade dalam mase 2 minggu...tu pun sebab aku ade pembantu-pembantu yang bagus...jase-jase kalian memang aku tak kan lupekan sampai bile-bile...rezeki aku tak panjang kat syarikat ni...aku dapat bekerja sampai bulan mei 2010... sekali lagi aku diuji...kembalilah aku memegang jawatan sebagai pengaggur....mulalah tak tahu nak buat ape...kebetulan mase ni MSC job camp ade buat kursus Bahasa Inggeris di Standford Kolej...mase ni aku tak habes belajar lagi...jadi dengan nekadnye...aku dengan adik aku yang mase ni pun baru jer habes belajar and tak ade kerja...kite orang ke KL dan belajarlah bahasa inggeris selama 2 bulan...konon lepas tu boleh terror lah kan...jadi terpaksalah aku ke Johor naik bas jer untuk pergi ke kelas dalam mase 2 bulan tu...mujurlah mase tu tengah cuti semester...jadi tak lah banyak kelas yang aku ponteng mase tu...Aku bersyukur sangat mase ni ...bulan 9 aku dapat panggilan yang aku diterima untuk mengikuti kursus graduan-graduan mengaggur di PUSPATRI Pasir Gudang...yang paling best aku di tawarkan untuk mengikuti kursus Safety and Health Office... selama 6 bulan dan tak payar bayar ape-ape..siap dapat elaun lagi..lepas dah nak bayar duit kete...cume untuk belanje tak cukup lah kan... hehehehe...memang ayahlah yang kene tolong tambah duit belanjer... bulan 10 jadilah aku pelajar di PUSPATRI secara sepenuh masa dan separuh masa di UTM...serabut kepala mase ni sebab aku kene belajar dua benda yang berbeza...Tapi Alhamdulillah..aku berjaya lulus dengan cemerlang untuk dua-dua kursus ni...



2011 aku mula menjalani latihan praktikal di Sime Darby Engineering Sdn. Bhd di Pasir Gudang...kali ni bile jumpe kawan-kawan lame..semuanye terkejut sebab aku beralih bidang daripada IT ke HSE...confirmlah banyak soalan yang aku kene jawab...sebelum aku habes praktikal..aku dah ditawarkan kerja...kalau dulu aku yang mencari kerja...tapi sekarang aku pulak yang ditawarkan kerja...jadi aku kembali semula ke Teluk Ramunia dan bekerja dengan CKJ Engineering Services Sdn. Bhd...habes jer dengan projek ni...sekali lagi aku ditawarkan bekerja dengan Turcomp Engineering...mase ni projeknye untuk shutdown di TITAN...best sebab gaji besar...semua company sediakan termasuklah rumah dengan transport...dapatlah merase terlibat dengan projek...kenangan yang paling best sebab aku dapat naik flair kat TITAN tu dan tengok kawasan Pasir Gudang....

Alhamdulillah...hujung tahun 2011...Aku di terima bekerja di Malaysia Marine & Heavy Engineering Sdn. Bhd sebagai HSE Trainer...mulenye aku seorang jer trainer untuk projek Tapis & Telok....satu cabaran untuk aku mase ni...sampai dah tak terlarat nak buat training...5 bulan aku berseorangan...tapi selepas dipindahkan ke Taman Mawar..barulah ade trainer yang lain membantu...tahun 2011 aku dapat pergi 2 konvo...satu di UTM untuk degree..dan satu di Persada Johor untuk PUSPATRI...mase ni..terase sangat bahagia bila segala usaha berbalas...

2012 aku masih lagi bekerja di MMHE dan aku terus sambung Master sebab sekali lagi semangat aku di bakor oleh orang yang interview mase tu...kebetulan aku belum pun konvo mase interview untuk jadi HSE Trainer tu...jadi level aku mase tu setakat Diploma jer..dan gaji aku pun tak boleh nak dapat lebih..dengan alasan degree aku bukan dalam bidang Safety walaupun mase tu aku dah lulus exam untuk 4 paper SHO...alasan lain..sebab aku tak register green book lagi...huhuhuhu...terima jer lah...rezeki pasti ade lepas ni kan...

2013 aku berjaya menamatkan Master dengan jayanya...mase ni aku di pindahkan semula ke dalam MMHE...jeng..jeng..jeng...nak dijadikan cerita...aku bertemu jodoh pun di MMHE...Alhamdulillah...dah tak single lagi...bile dah lame sangat kerja kat MMHE ni..mulalah aku rase macam ade yang tak kene jerrr dengan pihak pengurusan..ape masalahnye..biarlah rahsia untuk aku dan menjadi pengalaman untuk aku mematangkan diri dalam bidang safety.... terase macam dah sampai masenye aku keluar daripada kepompong ni sebab aku masih ade di level yang same jer...susah untuk aku pergi jauh lagi kalau aku masih bertahan di sini...Alhamdulillah...sekali lagi Allah titipkan rezeki untuk aku...aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Kimia)...tawaran pertama aku tolak..sebab terase macam awal sangat untuk aku sambung belajar bulan 9 tu..maklumlah...baru jer naik pelaminkan...tak puas lagi nak honeymoon..hahahaha...

2014 sekali lagi aku ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah (Kejuruteraan Kimia)...kalau aku tolak tawaran kali kedua ni..lepas ni UTM tak kan tawarkan lagi dan aku terpaksa buat permohonan semula kalau aku nak sambung semula...setelah berbincang dengan keluarga...aku akhirnye membuat keputusan untuk sambung belajar disebabkan rase hati yang memang dah tak boleh nak bertahan untuk bekerja...dengan secara rasminya aku menjadi seorang mahasiswi di UTM skudai pada 5 Februari 2014 dan aku berhenti dari MMHE pada 7 Februari 2014....soal kewangan aku memang tak payah risau..sebab dapat biasiawa dari KPM...dah dapat belajar free...kenalah pandai manafaatkannye lepas ni...   

Monday, 2 March 2015

Tulang Rusukku

WANITA : Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?

LELAKI : Kamu!!!

WANITA : Menurut kamu, saya ini siapa?

LELAKI : (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti). Kamu, tulang rusukku!

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...

Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara. Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan.

Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas. Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah.

Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!".

LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"

Tiba-tiba WANITA terdiam dan berdiri kaku untuk beberapa saat. LELAKI menyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah.

"Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".

Lima tahun berlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusaha mencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai. LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya.

Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit di hatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.

Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.

LELAKI : Apa khabar?

WANITA : Baik... kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?

LELAKI : Belum.

WANITA : Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikutnya. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telepon saya kan?Tidak ada yang berubah.

WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal..."

Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban Menara WTC. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit dihatinya. Akhirnya dia sedar bahawa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan..

Kita menempiaskan 99% kemarahan walau kepada orang yang paling kita cintai. Dan akibatnya adalah penyesalan. Seringkali penyesalan itu datang di kemudiannya, akibatnya setelah kita menyedari kesalahan kita, semua sudah terlambat....

Kerana itu, jagalah dan sayangilah orang yang dicintai dengan sepenuh hati... Sebelum mengucapkan sesuatu berfikirlah dahulu, apakah kata-kata yang kamu ucapkan akan menyakiti orang yang dicintai?Jika kira merasakan akan menyakitinya, sebaiknya jangan pernah dilafazkan. Kerana semakin besar
risiko untuk kehilangan orang yang dicintai.

Jadi berfikirlah, apakah kata-kata yang akan dilafazkan sebanding dengan akibat yang akan diterima??