Sunday, 15 March 2015

Elak sakit belakang

Senaman bantu pulihkan regangan postur badan

Pada masa ini, masalah sakit belakang berkaitan tulang belakang adalah punca utama kecederaan berkaitan pekerjaan. Sakit akibat kecederaan yang tidak tertanggung ini menyebabkan mereka yang mengalaminya menghabiskan banyak wang untuk pulih sepenuhnya. Kesakitan terutama pada bahagian pinggang biasanya terjadi kepada orang di sekitar umur 30 hingga 50 tahun. Kebanyakan daripadanya mengalami kesakitan itu ketika sedang melakukan rutin pekerjaan. Sebenarnya anda boleh mengurangkan risiko dengan sedikit bimbingan dan langkah pencegahan.

Berat badan berlebihan 

Langkah pertama dengan menilai risiko kepada anda. Orang yang paling berisiko tinggi adalah mereka yang perlu kerap membongkok, mengangkat dan berpusing. Anda juga berisiko jika mempunyai berat badan berlebihan, merokok atau tidak aktif. Pemeriksaan awal penting bagi membolehkan anda lebih berhatihati bagi mengurangkan dan mengelak terus risiko ini. Bermula dengan mencuba untuk berhenti merokok dan mengurangkan sedikit berat badan jika anda mempunyai berat badan berlebihan. Seterusnya membuat beberapa perubahan di tempat kerja. Ramai yang mengalami masalah sakit belakang di bahagian pinggang selepas mengangkat objek berat secara tidak betul.

Duduk di meja

Duduk dalam tempoh yang panjang dan tidak bergerak boleh mengakibatkan anda mendapat sakit belakang dalam jangka masa yang panjang. Cara terbaik mengelakkannya adalah dengan berehat sebentar secara kerap dengan berdiri dan berjalan, tetapi jika anda tidak mempunyai pilihan lain, cuba ambil langkahlangkah berikut:

  • Beri sokongan kepada pinggang anda. Gunakan gulungan tuala, bantal kecil atau kerusi sokongan yang direka khas. 


  • Duduk dengan postur yang betul. Selaraskan telinga dan bahu dengan memastikan dagu selari dengan lantai. Elakkan bersandar pada bahagian tepi badan dan elakkan perabot yang terlalu empuk kerana tidak menawarkan sokongan yang mencukupi. Apabila anda tidak bersandar ke belakang pastikan anda tidak melengkungkan bahagian belakang badan anda. Pastikan belakang anda tegak dan sejajar. 
  • Beli kerusi pusing berkualiti supaya anda boleh bekerja tanpa memusingkan pinggang anda. Kedudukan komputer yang dekat dengan anda juga membantu mengurangkan anda berpusing dan berubah. Pastikan kerusi anda boleh dilaraskan, boleh bersandar dan mempunyai tempat meletakkan lengan.
Jangan lupa bersenam 

Lazimnya, menganggap rehat dengan berbaring di atas katil adalah cara untuk pulih daripada masalah sakit belakang. Hakikatnya bahawa senaman bukan sahaja membantu melegakan sakit pinggang kronik, tetapi juga membantu mencegahnya pada masa depan. 

Senaman dapat memperbaiki postur, menguatkan belakang, meningkatkan fleksibiliti dan membantu anda mengurangkan berat badan. Program senaman yang berkualiti merangkumi aktiviti aerobik (seperti berjalan, berenang dan berbasikal), latihan bebanan dan regangan (seperti yoga dan tai chi). 

Anda juga boleh melakukan aktiviti ini di tempat kerja selepas duduk agak lama, seperti berjalan kaki selama 10 minit. Lakukan juga beberapa regangan mudah ketika rehat. Jika anda perlukan lebih panduan, tunjuk ajar dan idea dapatkan panduan pakar kecergasan yang berkelayakan di tempat anda. 


Ikuti tip ini untuk mengurangkan risiko kecederaan 

  • Jika anda perlu untuk mengangkat sesuatu yang terlalu berat, dapatkan bantuan. 
  • Pastikan kaki anda dijarakkan seluas bahu supaya anda mempunyai asas sokongan yang luas. 
  • Berdiri sedekat yang mungkin dengan objek yang anda ingin angkat. 
  • Bengkokkan lutut anda, BUKAN pinggang anda. 
  • Beri sokongan kepada belakang dengan mengeraskan otot abdomen kerana anda mengangkat objek ke atas atau lebih rendah ke bawah. 
  • Angkat menggunakan otot kaki anda, TIDAK belakang anda. 
  • Pegang objek sehampir yang boleh dengan badan anda. 
  • Jangan memusingkan badan atau condong ke hadapan ketika anda mengangkat atau membawa objek. 
Sumber dari; Berita Harian, Aug 30, 2014; pg. no. 010- Byline / Author: Oleh Mohd Hoesni Rahmat


No comments:

Post a Comment