Saturday, 15 August 2015

Kesan tekanan dalam kehidupan

DALAM kehidupan seharian pada era globalisasi yang semakin mencabar ini, setiap individu mempunyai tanggungjawab, iaitu kepada keluarga, masyarakat dan tempat bekerja atau majikan. Tekanan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dari semua kategori sama ada kaya atau miskin, profesional atau bukan profesional, kanak-kanak, remaja, orang dewasa dan warga tua. Maka risiko untuk mengalami tekanan bagi setiap orang akan menjadi bertambah, dan boleh dibuat kesimpulan bahawa tekanan merupakan asam garam dalam kehidupan seseorang individu. 

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 2003, kadar pertambahan kes penyakit kardiovaskular dan angin ahmar atau strok adalah penyebab utama kematian di negara membangun dan sedang membangun. Penyebab utamanya ialah merokok, aras kolesterol dalam darah yang tinggi, diabetis dan hipertensi. Tekanan dan gaya hidup yang kurang melakukan aktiviti fizikal secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan faktor risiko tersebut. Walau bagaimanapun tidak semua tekanan memudaratkan atau memberi kesan negatif. Kesan negatif hanya akan berlaku sekiranya melebihi keupayaan kawalan individu tersebut dan mengakibatkan masalah mental, fizikal dan hilang produktiviti. Perubahan fisiologi yang berlaku akibat tekanan adalah menyeluruh pada tubuh badan individu dan tekanan yang berpanjangan akan membawa kesan negatif kepada individu.

Perubahan yang berlaku kepada sistem kardiovaskular ialah kadar denyutan jantung akan meningkat dan menyebabkan pengaliran darah bertambah antara 300 peratus hingga 400 peratus yang menyebabkan individu berkenaan berada dalam keadaan berdebar. Kadar pernafasan juga akan bertambah cepat dan penyerapan oksigen oleh paru-paru akan bertambah untuk organ penting seperti otak dan otot-otot agar dapat berfungsi dengan efektif. Dalam keadaan tekanan yang teruk, individu akan berasa susah untuk bernafas atau mengalami sesak nafas. Setiap individu seharusnya mengetahui keadaan tekanan mereka serta mempunyai pengetahuan untuk menguruskan tekanan bagi memastikan ia tidak mendatangkan kesan yang lebih mudarat kepada kehidupan. Tekanan juga boleh terjadi apabila seseorang itu dibebani dengan pelbagai tugasan yang tidak mampu diselesaikannya dan jika tidak dikawal boleh menjejaskan kesihatannya.

TEKANAN AKUT (acute stress disorder)

Tekanan yang berlaku akibat tindakbalas kepada rangsangan yang terjadi secara tiba-tiba. Dikenali sebagai tindakbalas lawan atau lari. Tindakbalas dimanifestasikan dengan perubahan tingkahlaku seperti: 

* Mudah menangis dan agresif 
* Perubahan emosi dan murung 
* Tidak dapat menumpukan perhatian 
* Perubahan fizikal seperti mudah berdebar, sakit kepala dan rasa tidak sihat. 

TEKANAN KRONIK 

Tekanan yang berlaku dalam jangka masa yang lama akibat rangsangan yang berterusan sama ada disedari atau tidak oleh individu. Rangsangan yang sering menyebabkan tekanan kronik adalah seperti: 
* Tekanan berterusan ditempat kerja 
* Masalah hubungan dengan individu lain 
* Berasa keseorangan dan kesunyian 
* Masalah kewangan yang berterusan

PENYAKIT AKIBAT TEKANAN 

Keadaan tekanan yang kronik atau berterusan tanpa rawatan dan intervensi akan menyebabkan kesan negatif kepada individu tersebut. Antara penyakit yang dikaitkan dengan tekanan adalah seperti: 

Sistem Kardiovaskular: 

Antara penyakit utama yang dikaitkan dengan tekanan yang kronik ialah serangan jantung, strok dan tekanan darah yang tinggi. Contohnya, serangan jantung dikatakan sebagai pembunuh senyap kerana ia boleh berlaku secara tiba-tiba tanpa sebarang tanda sehingga boleh meragut nyawa seseorang. 

Sistem Pernafasan: 

Penyakit yang sering dikaitkan dengan sistem pernafasan ialah lelah. Individu yang mengalami keadaan tekanan kronik terdedah kepada serangan lelah. Walaupun penyakit ini tidak dianggap sebagai satu penyakit yang menggerunkan seperti kanser namun sekiranya tidak diberikan pencegahan awal ia boleh menjadi serius dan ada juga yang boleh membawa maut. 

Masalah Mental: 

Antara masalah mental yang ditemui pada individu yang mengalami tekanan kronik ini adalah seperti masalah kerisauan, kemurungan dan mengalami fobia. Makna fobia ialah perasaan takut pada sesuatu secara berlebihan dan tidak dapat diterangkan dengan secara logik sehingga menyebabkan individu tersebut berasa tekanan.

KESAN NEGATIF TEKANAN KEPADA KELUARGA 

Tekanan boleh menggugat hubungan dan kemesraan antara ahli keluarga. Tekanan menyebabkan berlakunya konflik dalam keluarga, individu dan tidak dapat berinteraksi dengan pasangan dan anak-anak dengan baik, serta ada yang menjauhkan diri dan bersikap dingin terhadap ahli keluarga. Sekiranya ayah atau ibu mengalami tekanan, ia boleh menggugat ekonomi keluarga dan meninggalkan kesan negatif kepada kesihatan mental dan proses tumbesaran anak-anak terutama peringkat umur remaja.

Berita Harian; 13 May 2015; pg 020

No comments:

Post a Comment