Saturday, 15 August 2015

Stres jejas kualiti hidup

Sekiranya kita sering merasakan hidup tidak ceria, mudah letih, emosi berubah-ubah atau cepat marah ketika berhadapan situasi tidak terduga, anda mungkin menghadapi tekanan. Tekanan kadangkala sukar dijelaskan tetapi memberi kesan negatif dalam kehidupan harian hingga menjejaskan kestabilan emosi. Kajian saintis oleh Universiti Linkoping di Sweden baru-baru ini, mendapati tekanan bukan hanya mengganggu emosi, malah dipercayai menjadi punca serangan diabetes. Penyelidikan terhadap 10,000 keluarga yang memiliki anak berusia dua hingga 14 tahun yang tertekan ketika zaman kanak-kanak berisiko diserang penyakit. Tekanan seperti perceraian, kematian atau kesakitan dalam keluarga meningkatkan risiko sehingga tiga kali serangan diabetes tahap satu. 

Tekanan punca penyakit 

"Tekanan berpanjangan meninggalkan trauma bagi tempoh 14 tahun dalam kehidupan kanak-kanak. Ia menjadi faktor utama mereka diserang diabetes tahap satu," katanya. Sementara itu, Pegawai Perubatan Terapi, Sains Penuaan dan Dermatologi, Swiss Wellness Centre, Dr Sarah Jane Khong, menjelaskan kehidupan di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur mendedahkan individu secara langsung terhadap tekanan. Katanya, faktor seperti persaingan, cabaran hidup dan kesesakan juga menyebabkan 80 peratus daripada individu terbabit berisiko berdepan masalah tekanan.

"Ada tiga jenis tekanan bergantung kepada masa dan berapa lama seseorang individu berhadapan situasi berkenaan. "Tahap satu iaitu individu mengalami tekanan untuk tempoh singkat, tahap dua (tekanan selama beberapa minggu atau lebih) dan tahap tiga (tekanan berpanjangan sehingga menyebabkan kemurungan). "Setiap jenis tekanan memberikan kesan besar termasuk menyumbang kepada masalah penyakit lain. Oleh itu, orang ramai perlu mengelak tekanan bagi menjalani kehidupan lebih sihat," katanya.

Kandungan mineral badan menurun

Dr Sarah berkata, tekanan menyebabkan kandungan mineral dalam badan berkurangan seperti kromium. Keadaan ini meningkatkan risiko darah tinggi, diabetes dan osteoporosis. Selain itu, tekanan turut mempengaruhi tahap pengeluaran hormon atau sistem pertahanan badan individu. Ini menyebabkan mereka lemah dan sukar melawan penyakit. Bagi individu yang gagal menguruskan tekanan dengan baik, sejenis hormon steroid yang dirembeskan oleh korteks kelenjar adrenal (kortisol) akan meningkat hingga menyebabkan risiko hidap pelbagai penyakit. Dr Sarah berkata, masalah tekanan yang dihadapi seseorang individu boleh dikesan melalui perubahan kulit individu berkenaan apabila mereka kelihatan letih, tidak bermaya, pergerakan mata tidak aktif dan tidak bersemangat menjalani kehidupan seharian. Bagaimanapun, beliau berkata, tekanan boleh diatasi dengan mengubah tabiat harian, mengamalkan senaman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan dapatkan tidur mencukupi.

Mesin kesan tekanan 

Perkembangan teknologi semasa turut mengambil kira masalah tekanan. Rawatan alternatif ditawarkan untuk mengatasi tekanan menggunakan mesin OligoScan. Inovasi daripada teknologi Switzerland itu berupaya mengesan punca, tahap dan menunjukkan kaedah rawatan menangani tekanan anda. Individu akan didiagnosis menerusi empat titik utama. Komputer pula akan mengeluarkan analisis diagnosis berkenaan untuk diterangkan secara jelas kepada pesakit. Bahkan, mesin ini membantu pakar dermatologi mengetahui pola dan punca tekanan terhadap individu berkenaan. Di samping itu, kewujudan pelbagai jenis senaman seperti zumba, yoga, larian jarak jauh (maraton) dan aktiviti lasak seperti mendaki serta berbasikal mempunyai kelebihan membantu mengurangkan tekanan.

Rawatan secara ubatan

Ubat antikemurungan (antidepresi) digunakan untuk melegakan tanda kemurungan dan mempunyai kesan penenang. Ada empat jenis ubatan penenang iaitu:
  • Trisiklik (Tricyclic);
  • RIMAs (Reversible Inhibitors of Monoamine Oxidase type A);
  • SSRIs (Selective Serotonin Reuptake Inhibitors)
  • SNRIs (Serotonin and Noradrenaline Reuptake Inhibitors).

Cara ubat bertindak

Ubat ini menambah aktiviti bahan kimia di dalam otak yang dikenali sebagai pemancar neuro. Pemancar neuro menghantar isyarat daripada satu sel otak kepada sel otak yang lain. Bahan kimia kemurungan itu dikenali sebagai Serotonin dan Noradrenalin.

Prosedur mengambil ubat ini
  • Ambil ubat setiap hari seperti diarahkan.
  • Jangan ubah dos ubat sendiri.
  • Kesan teraputik ubat hanya boleh dilihat selepas dua minggu, jadi menunggu adalah penting.
  • Kesan sampingan ubat akan berkurangan setelah beberapa lama diambil.
  • Rujuk doktor jika kesan sampingan tidak disenangi. Doktor mungkin mencadangkan ubat jenis yang lain.
Berita Harian; 25 April 2015; pg 010 Oleh Nadia Hamid

No comments:

Post a Comment