Saturday, 15 August 2015

Keselamatan di pejabat

Pejabat merupakan sebuah tempat kerja yan biasanya dianggap tidak mempunyai risiko pada keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Seperti juga tempat kerja yang lain, pejabat tidak terkecuali daripada hazard fizikal, biologikal, kimia dan faktor ergonomik. Hazard ini boleh mengakibatkan berlakunya kemalangan seperti terjatuh, tersepit, terlanggar dan masalah lain seperti masalah otot rangka dan kelesuan mata. Hazard boleh menyebabkan berlakunya sesuatu kemalangan serta penyakit pekerjaan iaitu seperti:

  • Terjatuh dari tempat yang tinggi semasa menyusun atau menurunkan fail dari rak yang tinggi
  • Terjatuh pada aras yang sama seperti tergelincir akibat dari lantai yang licin atau tersangkut pada halangan seperti wayar elektrik atau permaidani yang rosak
  • Kebakaran yang menyebabkan dari lintar pintas atau puntung rokok yang boleh mengakibatkan kecederaan dan kematian.
  • Tersepak barangan di laluan kerja seperti laci kabinet yang terbuka atau kotak yang berada di atas lantai.
  • Terdedah pada bahan kimia seperti gam dan pelarut.
  • Terdedah pada sinaran ultra ungu, cahaya matahari yang berlebihan dan unit paparan visual
  • Tersentuh dengan benda-benda tajam yang boleh mengakibatkan kecederaan seperti pisau, gunting dan pemotong kertas.
Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, seksyen 15(1) menyatakan bahawa adalah menjadi kewajipan tiap-tiap majikan dan tiap-tiap orang yang bekerja sendiri untuk memastikan, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kabajikan semasa bekerja semua pekerjanya.


Antara langkah yang boleh diambil oleh majikan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan serta ancaman penyakit akibat kehadiran hazard di pejabat adalah:

  • Melatih pekerja dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja secara manual
  • Menyediakan buku panduan keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk kakitangan sebagai panduan ketika melakukan aktiviti kerja.
  • Menyediakan peraturan keselamatan dan kesihatan serta penguatkuasaan sebagai panduan ketika melakukan aktiviti kerja.
  • Menyediakan prosedur kerja selamat bagi aktiviti kerja berisiko tinggi seperti menyusun fail di atas rak yang tinggi.
  • Memeriksa dan memantau keadaan tempat kerja dengan menggunakan senarai semak dari masa ke semasa.
  • Mengadakan pelan tindakan kecemasan termasuk pelan bangunan yang menunjukkan laluan keluar, tempat berkumpul ketika berlaku kecemasan dan sebagainya.
  • Mempertingkatkan kekemasan tempat kerja supaya bebas dari ancaman fizikal serta menyusun atur kelengkapan pejabat dengan baik.
  • Menyediakan laluan yang cukup luas untuk membolehkan pekerja bergerak dengan bebas.
  • Menyediakan ruang khas untuk menyimpan bahan berbahaya serta melabelkan bekas bahan tersebut.
  • Menyediakan peralatan kecemasan seperti alat pemadam api, penggera serta kotak pertolongan cemas yang lengkap.

No comments:

Post a Comment